Nelayan Warga Emas Hilang Ketika Memukat di Kg Kuala Pantai Manis

Nelayan Warga Emas Hilang Ketika Memukat di Kg Kuala Pantai Manis

0
SHARE

PAPAR: Seorang lelaki warga emas masih belum ditemui selepas dipercayai hilang di laut ketika menjalankan aktiviti memukat di kawasan Pantai Manis, Kampung Kuala, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Papar pada jam 10.44 pagi memaklumkan kejadian berkenaan sebelum sepasukan 10 anggota digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira jam 10.54 pagi.

“Menurut maklumat awal, terdapat dua mangsa terlibat. Seorang mangsa, Primus Ujim, 52, berjaya ditemui dalam keadaan selamat manakala seorang lagi, Saimon Ongit, 60, masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kaedah pencarian permukaan (surface searching) menggunakan bot bomba sejauh kira-kira tujuh kilometer atau 2.16 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Memasuki hari kedua operasi, pasukan bomba bergerak semula ke lokasi pada jam 6.45 pagi dengan membawa bot aluminium bagi meneruskan pencarian di sekitar perairan dan persisiran pantai.

Pada jam 12 tengah hari, sebuah boya berwarna oren milik bot mangsa yang karam ditemui terapung kira-kira 300 meter dari pesisir pantai.

“Operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor keselamatan dan akan disambung semula esok pagi. Usaha pencarian akan diteruskan sehingga mangsa ditemui,” katanya.

Rozlan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya segera menghubungi pihak bomba atau polis bagi membantu operasi.