Azizah: Usaha Perkasa Wanita Sabah Diteruskan Walau Perwakilan Rendah

Azizah: Usaha Perkasa Wanita Sabah Diteruskan Walau Perwakilan Rendah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Usaha memperkasa wanita Sabah diteruskan walaupun penyertaan mereka dalam Dewan Undangan Negeri Sabah masih rendah, kata Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata penubuhan Kementerian Wanita merupakan langkah penting ke arah sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam kepimpinan.

Kini hanya lima daripada 73 wakil rakyat ialah wanita, dengan Datuk Julita Majungki satu-satunya wanita
dalam Kabinet negeri.

Azizah menegaskan sokongan struktur perlu diperkukuh bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam politik dan tenaga kerja.

Katanya, wanita sudah membentuk 60 hingga 70 peratus pelajar universiti dan lebih separuh penyelidik di Institut Kajian Pembangunan (IDS).

Sebagai Pengerusi IDS, beliau menyifatkan 2025 sebagai tahun pertumbuhan kukuh apabila institut itu merekodkan 177 projek penyelidikan berbanding 56 pada 2024, selain peningkatan kerjasama strategik dan acara awam.

“IDS akan menumpukan penyelidikan selaras pelan Sabah Maju Jaya 2.0, khususnya mengenal pasti punca kemiskinan di 10 daerah termiskin termasuk Pitas, Tongod dan Kota Marudu,” katanya selepas memberikan amanat pada Khamis.

Beliau berkata setiap daerah memerlukan penyelesaian berasaskan bukti yang disesuaikan dengan cabaran setempat bagi meningkatkan pendapatan dan peluang ekonomi, di samping memastikan pembangunan inklusif.