Asia Timur Bakal Berdepan Limpahan ‘Sungai Dari Langit’

Asia Timur Bakal Berdepan Limpahan ‘Sungai Dari Langit’

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

TOKYO, JEPUN – Akibat perubahan iklim sejak akhir-akhir ini, sebahagian negara di rantau Asia Timur bakal berdepan limpahan hujan banyak   yang diibaratkan seperti limpahan  ‘sungai dari langit’.

Memetik laporan Daily Mail, fenomena ‘sungai dari langit’ itu dikatakan juga bakal memecahkan rekod tadahan hujan sedia ada seandainya benar-benar berlaku.

Sekumpulan penyelidik dari Jepun telah mencipta model komputer  untuk menyiasat ‘tingkah laku’ pengumpulan titisan air di atmosfera dan taburan hujan melampau di Asia Timur di bawah perubahan iklim berbeza..

‘Sungai-sungai’ dari langit ini adalah jalur sempit wap air pekat yang mengalir melalui atmosfera dan boleh membawa kepada paras hujan yang tinggi di kawasan pergunungan.

Menurut pasukan saintis  dari Universiti Tsukuba itu, simpanan air di langit itu akan bertambah dan mengundang musim hujan yang tidak pernah berlaku sebelum ini jika suhu meningkat sebanyak empat darjah Celsius.

Walaupun kajian tersebut hanya melibatkan rantau  Asia Timur, pasukan penyelidik itu berkata,  ramalan mereka juga akan digunakan untuk kawasan latitud pertengahan dengan banjaran gunung yang curam termasuk Eropah dan Amerika Utara.