Teruskan Semangat Patriotisme, Perpaduan dan Keharmonian – Ketua Menteri

Teruskan Semangat Patriotisme, Perpaduan dan Keharmonian – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memupuk semangat patriotisme, mengekalkan perpaduan serta memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Dalam perutusan sempena Hari Sabah dan Hari Kebangsaan 2025, beliau menegaskan bahawa kedua-dua perayaan ini menjadi wadah penting untuk mengimbau sejarah, memperkukuh jati diri dan menyemai rasa cinta terhadap negeri.

“Pada tarikh 31 Ogos, kita meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, dua peringatan yang berfungsi sebagai faktor penyatuan untuk semua rakyat Malaysia dari latar belakang yang pelbagai,” katanya.

Hajiji menekankan bahawa sambutan bersejarah ini bukan sekadar untuk dikenang, tetapi juga sebagai kesempatan menghargai pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan penuh keberanian demi kebebasan negara.

Ketua Menteri turut menyatakan bahawa tema Hari Kebangsaan 2025, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” dan tema Hari Sabah 2025, “Untukmu Sabah Tanah Airku” membawa mesej sehaluan yang berpaksikan kepada prinsip Madani dan agenda pembangunan negeri di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Marilah kita terus waspada terhadap sebarang elemen negatif yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan, yang akhirnya boleh membawa kepada perpecahan,” tegas beliau.

Beliau menekankan bahawa semangat cinta negara, toleransi dan keharmonian adalah asas penting bagi memastikan Sabah dan Malaysia terus makmur serta bersatu padu.