Logo UPKO Hanya Timbulkan Kekeliruan, PH Mesti Kekal Bersatu – Eldridge

Logo UPKO Hanya Timbulkan Kekeliruan, PH Mesti Kekal Bersatu – Eldridge

0
SHARE

PENAMPANG: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Penampang, Eldridge Laurence Timis menempelak cadangan agar UPKO menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sambil menegaskan bahawa hanya logo Pakatan Harapan (PH) mampu menjadi simbol kekuatan gabungan.

“Jika benar logo UPKO mampu mengelak kekeliruan, mengapa 91.7 peratus calon UPKO tewas pada PRN yang lalu?

“Hakikatnya, logo itu tidak membawa kelebihan malah menambah kekeliruan dan kehilangan keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan Majlis Presiden PH telah memutuskan semua parti komponen wajib menggunakan logo PH tanpa pengecualian.

“Logo PH adalah simbol sebenar kesatuan dan kekuatan. PKR Penampang akan berdiri teguh di belakang keputusan ini,” ujarnya.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada Setiausaha UPKO Penampang, Bryan Matasing, yang berhujah bahawa imej Gunung Kinabalu pada logo UPKO lebih dekat di hati rakyat Sabah dan mampu mengelak kekeliruan pengundi.

Cadangan penggunaan logo UPKO mula dibangkitkan oleh UPKO Tenom dan disokong beberapa pemimpin parti termasuk Suzie Salapan dari UPKO Bandau.

Mereka mendakwa ia dapat mengukuhkan identiti tempatan dan menepis tanggapan UPKO terlalu terikat dengan “parti Malaya.”

Namun, Eldridge menegaskan hujah tersebut tidak berasas kerana rekod pilihan raya lalu jelas membuktikan logo UPKO ditolak rakyat.

Katanya, keutamaan kini ialah disiplin serta kesatuan dalam PH bagi mengelak perpecahan mesej dan kekeliruan pengundi, khususnya di kawasan luar bandar.