BEAUFORT, SABAH – Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) membantu 130 pengusaha bot laju Menumbok – W.P. Labuan yang terkesan pendapatan mereka ekoran penularan wabak COVID-19 sejak tahun lalu.
Inisiatif itu diketuai Menteri Tugas-Tugas Khas, YB Datuk Haji Mohd Arifin Bin Haji Mohd Arif, dalam kerjasama dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM SABAH).
Dalam lawatan ke Pejabat Daerah Kecil Menumbok pada jam 10.30 pagi tadi, sebanyak 130 pengusaha bot laju berkenaan telah menerima bantuan kewangan daripada PBNS sebanyak RM100 setiap seorang.
Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) adalah sebuah agensi dibawah naungan Kementerian Tugas-Tugas Khas yang baru-baru ini juga telah mengagihkan bantuan sebanyak RM 2 juta kepada mangsa pandemik dan petugas barisan hadapan.