Jadikan Perbezaan Sebagai Kelebihan – Tun Juhar

Jadikan Perbezaan Sebagai Kelebihan – Tun Juhar

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, menggesa rakyat untuk jadikan perbezaan sebagai kelebihan dan persamaan sebagai sumber kekuatan perpaduan.

Katanya, prinsip yang diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika membangun Kota Madinah itu perlu dicontohi.

“Apa jua perbezaan yang wujud, kita jadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan, kita jadikan sebagai sumber kekuatan…

“Kita jalin serta perkukuhkan lagi perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan sikap bertoleransi sebagai sebuah keluarga yang besar,” jelasnya.

Mengimbas kembali sejarah Rasulullah SAW semasa berada di Madinah, ujar Tun Juhar, baginda telah mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai kaum yang tinggal berhampiran Kota Madinah demi meningkatkan lagi kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan.

“Inilah prinsip ukhuwah insaniah yang telah diterapkan oleh baginda Rasulullah dalam masyarakat Madinah seperti yang dimaksudkan…

“Dengannya terciptalah perpaduan, semangat saling menghormati, bersatu padu dan tekad mencapai kecemerlangan,” katanya.

Ketika menyampaikan perutusannya sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1444H/2022M, semalam.

Tun Juhar juga mengingatkan umat Islam agar menangani setiap cabaran dengan kebijaksanaan dan mengekalkan keluarga Malaysia.

“Walaupun Nabi Muhammad SAW telah mempusakakan kepada kita Al-Quran dan Sunnahnya sebagai pedoman kita, namun janganlah kita lupa bahawa semakin tua umur dunia ini, maka semakin hebat pula cabaran yang perlu ditempuhi khususnya kita sebagai umatnya…

“Ini termasuklah cabaran dalam menghadapi helah dan tipu muslihat musuh yang semakin licik dan akibat kejahilan manusia itu sendiri.

“Maka setiap cabaran dan rintangan tersebut perlu kita tangani dengan kebijaksanaan, ilmu pengetahuan dan juga kemahiran yang sebenar melalui semangat keluarga Malaysia,” tambahnya.

Ujarnya lanjut, pemilihan tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” tepat dan signifikan dengan kehidupan masyarakat di negeri ini.