13 Ditangkap Mencuri Di Tapak Pembinaan Terbengkalai Tanjung Lipat

13 Ditangkap Mencuri Di Tapak Pembinaan Terbengkalai Tanjung Lipat

0
SHARE
Ipd
Antara suspek yang ditangkap ketika mencuri di tapak pembinaan terbengkalai Pacific Heights ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Tiga belas individu termasuk dua warga asing dan dua wanita ditangkap ketika sedang mencuri besi dan peralatan rumah di tapak pembinaan Pacific Heights di Tanjung Lipat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata usia suspek dalam tangkapan kira-kira 3.15 petang itu antara 25 hingga 49 tahun.

Katanya, pihaknya bertindak atas maklumat daripada orang awam tentang kejadian kecurian di tapak pembinaan tersebut yang terbengkalai sejak 6 tahun lalu dan membuat serbuan.

“Suspek ketika itu sedang membuka dan meleraikan pelbagai peralatan rumah seperti wayar, kabel aluminium, batang aluminium, bingkai pintu aluminium, bingkai tingkap aluminium, batang paip dan lain-lain.

“Kesemua peralatan perumahan dan peralatan yang digunakan oleh suspek telah dirampas,” katanya.

Mohd Zaidi berkata ekoran tangkapan itu, pihaknya telah berjaya menyelesaikan 2 kes kecurian di kawasan pembinaan itu yang dilaporkan pada Sabtu lalu.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak menceroboh dan mengambil barang-barang atau peralatan dari mana-mana kawasan pembinaan termasuk kawasan pembinaan perumahan yang terbengkalai.

“Ia adalah satu perbuatan mencuri yang boleh ditangkap di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.