PENAMPANG: Seorang wanita tempatan ditahan polis selepas didapati memiliki dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM3,000 dalam satu operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, semalam.
Dalam operasi yang dijalankan itu, suspek berusia 38 tahun ditahan di daerah ini sebelum pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 21.20 gram.
Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati wanita terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Menurut kenyataan polis hari ini, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali jika disabitkan kesalahan.
Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Polis dalam pada itu menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti penyalahgunaan dadah supaya segera menyalurkannya kepada balai polis berhampiran bagi membantu usaha membanteras kegiatan tersebut.






