KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memandang serius ke atas penggunaan logo dan nama syarikat oleh individu, kesatuan atau organisasi tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada SESB.
SESB dalam satu kenyataan pada hari ini berkata ia mempunyai hak dan remedi undang-undang termasuk hak untuk mendapatkan pelepasan injuksi, ganti rugi dan kos guaman.
“SESB memiliki cap dagangan dan imej syarikat dengan hakcipta tersendiri dan SESB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sebarang salah nyata, pelanggaran atau sebarang penggunaan cap dagangan tanpa kebenaran bertulis dari SESB,” katanya.
Kenyataan itu mengulas penggunaan logo SESB yang digunapakai oleh pihak ketiga.
“SESB adalah pendaftar rasmi ke atas cap dagangan untuk SESB, Sabah Electricity dan Sabah Electricity Sdn Bhd serta imej yang digunakan untuk mewakili syarikat.
“Sehubungan dengan itu, SESB memohon kerjasama semua pihak untuk mematuhi dan memastikan penggunaan cap dagangan SESB tidak diguna pakai,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Yaakob Jaafar berkata Sabah Elctricity Sdn Bhd (SESB) sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan positif daripada semua pihak.
“Sumbangan idea yang membina sentiasa diterima baik oleh SESB bagi memastikan tahap perkhidmatan sentiasa berada pada tahap yang baik,” beliau berkata.
Mohd Yaakob menjelaskan bahawa SESB sebelum ini telah mengadakan beberapa siri dialog bersama pelanggan dan komuniti di beberapa daerah untuk menerima cadangan dan maklum balas mengenai perkhidmatan SESB
“Pada tahun lalu, kita telah mengadakan dialog bersama komuniti setempat dan para pemimpin masyarakat di Tuaran, Keningau, Ranau dan Pitas serta yang terbaru pada Januari 2024 di Telupid,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penubuhan Sabah Electricity Watchdog (SEW) yang diumumkan salah sebuah parti politik di sini semalam.
“Semoga dengan adanya pertubuhan seperti ini akan meningkatkan lagi cadangan yang boleh dipertimbangkan untuk kemajuan dan penambahbaikan perkhidmatan di SESB.
“Kita akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada semua pengguna dan pemegang taruh,” katanya.






