KOTA KINABALU: Pelukis doodle dan pengarah kreatif Malaysia, Kendrick Ng atau lebih dikenali sebagai Kendylife, mencipta satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya menerusi penganjuran pameran ulang tahun pertamanya di negeri kelahirannya, Sabah, baru-baru ini.
Pameran bertajuk “Lines That Became Stories” itu diadakan sempena meraikan 20 tahun perjalanan seni, kreativiti dan penceritaan visual yang dibina beliau sejak mula berkarya.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Al Hambra Juhar yang juga meminati bidang kreatif turut hadir menyempurnakan pelancaran pameran berkenaan.
Berasal dari Tenom, Kendylife memulakan perjalanan kreatifnya dari sebuah pekan kecil di pedalaman Sabah sebelum mengembangkan bakatnya ke peringkat lebih luas. Beliau merupakan alumni Sekolah Menengah Kian Kok Sabah yang menjadi antara asas penting dalam pembentukan perjalanan seninya.
Sepanjang dua dekad berkarya, Kendylife berjaya membina nama bukan sahaja di Sabah, malah di Semenanjung Malaysia serta peringkat antarabangsa menerusi pelbagai pameran, kolaborasi dan penampilan di Singapura, Filipina, Australia dan United Kingdom.
Namun, pameran di Sabah kali ini disifatkan sebagai satu ‘kepulangan’ yang cukup bermakna buat beliau kerana membawa semula hasil karyanya ke tempat asal yang menjadi titik permulaan perjalanan kreatifnya.
Pameran itu diadakan di Tinggi Tinggi Creative Hub, Kota Kinabalu yang menurut beliau merupakan lokasi paling sesuai dan bermakna untuk meraikan detik penting berkenaan.
“Untuk akhirnya mengadakan pameran utama pertama saya di Sabah, dikelilingi komuniti yang memahami dan menyokong perkembangan kreatif, adalah sesuatu yang amat saya syukuri,” katanya.
Pameran “Lines That Became Stories” menampilkan pelbagai karya yang dihasilkan sepanjang 20 tahun termasuk lakaran awal, zine terbitan sendiri, projek kolaborasi serta naratif visual yang lebih matang dan tersusun.
Selain menjadi refleksi perjalanan seni Kendylife, pameran itu turut bertujuan mencetuskan dialog kreatif dan memberi inspirasi kepada generasi baharu pengkarya seni tempatan.
Antara matlamat utama pameran itu ialah memperkukuh kerjasama dalam kalangan penggiat seni Sabah, mempromosikan pendidikan dan pemahaman melalui seni serta menggalakkan pemikiran kreatif dan keusahawanan dalam komuniti.
Pameran tersebut berlangsung di Tinggi Tinggi Creative Hub bermula 1 Mei hingga 30 Jun ini dari jam 10 pagi hingga 6 petang dan ditutup setiap Isnin serta beberapa cuti umum tertentu mengikut pengumuman galeri.
Melalui pameran ini, Kendylife berharap ia bukan sahaja menjadi simbol perjalanan seninya selama dua dekad, malah membuka ruang kepada masyarakat Sabah untuk terus berhubung, berkolaborasi dan berkembang bersama menerusi seni.






