Ambil Kira Pandangan Rakyat Sabah Sebelum Beri Kerakyatan Pada PATI Lengkap Vaksin...

Ambil Kira Pandangan Rakyat Sabah Sebelum Beri Kerakyatan Pada PATI Lengkap Vaksin – Annuar Ayub

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pandangan rakyat Sabah harus diambil kira terlebih dahulu sebelum memberikan kerakyatan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang telah divaksin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub berkata ketika kerajaan negeri sedang bertungkus lumus memberi vaksin kepada warga Malaysia di Sabah, tiba-tiba muncul cadangan itu dari seorang Timbalan Menteri Persekutuan.

“Memberikan hak kerakyatan dan vaksin COVID-19 adalah dua perkara yang sangat berbeza. Cadangan ini tidak munasabah dan perlu difikirkan secara mendalam…

“Saya berharap para pemimpin di Sabah berganding bahu untuk membantah cadangan separuh masak ini,” ucapnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri pagi tadi.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbukti memberikan khidmat terbaik kepada Negeri Sabah walaupun baru setahun memerintah.

Katanya melaluinya, Sabah telah menerima peruntukan RM 5.1 bilion untuk melaksanakan program-program pembangunan.

Namun beliau menggesa supaya kerajaan negeri agar mengkaji semula pembangunan projek di lereng bukit atau tanah tinggi yang menyebabkan banjir besar.

Selain dari itu beliau berkata pembangunan tersebut turut menjadi penyebab kerosakan kepada harta benda milik awam dan kerajaan, dan lebih teruk, nyawa rakyat, jika berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Saya menyeru agar mereka yang terlibat di dalam perlaksanaan projek di kawasan tanah tinggi atau berbukit diberi amaran keras…

“Jika terdapat denda atau hukuman yang tidak setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan, kaji semula tujuan berkenaan bukan dengan tujuan sengaja untuk menghukum tetapi bagi kesedaran,” katanya.