LAHAD DATU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DU) Kunak, Datuk Norazlinah Arif mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh, yang menyatakan sokongan terbuka kepada calon UMNO-BN, Dato’ Anil Jeet Singh, dalam kempen Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 di kawasan itu.
Norazlinah mempersoalkan konsistensi Dr. Akmal yang menurutnya sebelum ini dikenali sebagai tokoh yang lantang memperjuangkan isu Melayu dalam UMNO dan BN.

“Dr. Akmal Saleh sangat terkenal dengan perjuangan beliau mengangkat isu dan identiti Melayu.
“Namun hari ini beliau sebagai pejuang Melayu sedang berusaha membantu calon di Kunak untuk menyingkirkan kami orang Melayu sebagai majoriti di daerah Kunak, mengangkat orang yang bukan Melayu sebagai pemimpin kami,” katanya.
https://vt.tiktok.com/ZSf83k3Gw/
Beliau berkata tindakan tersebut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju perjuangan Dr. Akmal.
“Kita tidak faham apa sebenarnya yang diperjuangkan beliau. Sebagai anak jati Kunak dan mewakili penduduk majoriti, adalah amat penting untuk menghormati kaum majoriti di sebuah kawasan untuk diangkat sebagai pemimpin,” katanya.
Dalam satu ceramah berasingan di Kunak, Dr. Akmal menyeru pengundi untuk memberi peluang kepada calon BN, Dato’ Anil Singh, dengan menekankan kemampuan calon tersebut menjalankan tugas.
“Jangan lepaskan peluang yang ada. Calon yang ada sudah baik, maka kita wajib kerja kuat. Wajib kita rampas kembali Kunak ini,” katanya di hadapan hadirin.

Bagaimanapun, tular di media sosial mengenai kelayakan akademik Dato’ Anil Jeet Singh apabila dakwaan muncul bahawa ijazah dan gelarannya adalah palsu, termasuk dakwaan bahawa universiti yang dinamakan tidak wujud dan program-program yang dituntut olehnya tak konsisten.
Setakat ini, belum ada penafian berhubung isu tular terbabit.






