KUALA LUMPUR: Arena muzik alternatif Malaysia bakal digegarkan apabila tiga figura muzik penuh karisma Pamungkas, Fugo dan Bilal Indrajaya disatukan dalam sebuah malam magis menerusi konsert Panggung Purnama yang dijadual berlangsung pada 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Penganjuran konsert ini oleh UdaraLaskhar bukan sekadar persembahan biasa, tetapi dijanjikan sebagai pengalaman eksklusif dan penuh emosi kepada peminat yang telah lama menantikan kehadiran tiga pemuzik tersohor ini berkongsi pentas buat pertama kalinya.
Line-up Panggung Purnama kini lengkap dengan pengumuman Pamungkas sebagai nama kedua dan Fugo sebagai nama ketiga, menyusuli Bilal Indrajaya yang sebelum ini diumumkan terlebih dahulu. Gabungan ini disifatkan sebagai pilihan ‘berani dan berjiwa’ oleh penganjur.
Menurut wakil UdaraLaskhar, John Labu, pihaknya yakin gabungan ketiga-tiga artis ini memenuhi konsep pementasan yang telah dirancang sejak sekian lama, khusus untuk menyentuh emosi dan membawa penonton menyelami karya-karya mendalam dari setiap penyanyi.
“Kami percaya kepada ‘candu’ Pamungkas dan Fugo. Lagu-lagu mereka sudah sebati dalam jiwa peminat. Dan kini, kami realisasikan permintaan itu dengan menghimpunkan mereka bersama Bilal Indrajaya dalam satu malam istimewa,” jelas John.
Pamungkas, penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia yang terkenal dengan lagu To The Bone, bakal tampil secara solo di pentas Malaysia buat julung kali, manakala Fugo, kugiran indie Malaysia yang melonjak naik dengan As Long As We Stay dan Lagu Balada Kala Hujan dijangka membawa sentuhan tersendiri yang segar dan mengasyikkan.
Tiket konsert kini mula dijual di laman web [www.ilassotickets.com](https://www.ilassotickets.com) dengan lima kategori iaitu: Purnama (RM399), Awan (RM249), Bumi (RM239), Langit (RM199) dan Bintang (RM179).
Bagi peminat muzik yang menghargai lirik jujur, emosi mendalam dan persembahan berjiwa, Panggung Purnama adalah malam yang tidak boleh dilepaskan, satu malam yang dijanjikan bukan hanya persembahan, tetapi sebuah perjalanan rasa.






