KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan notis pemakluman kepada pengusaha Taman Perdana Tanjung Aru agar menutup operasi taman tersebut serta-merta susulan insiden serangan memerang terhadap tiga individu yang sedang berjoging pada pagi Rabu.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata langkah penutupan itu diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung dan memberi laluan kepada pihak DBKK dengan kerjasama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.
“DBKK memandang serius insiden ini dan bertindak segera mengarahkan penutupan Taman Perdana Tanjung Aru bagi mengelakkan sebarang insiden lain yang tidak diingini.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi arahan penutupan ini bagi memastikan keselamatan bersama,” katanya dalam sebuah kenyataan pada malam hari kejadian.
Ketua Polis Kota Kinbalu, ACP Kasim Muda berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kes pada jam 6.40 pagi.
Jelasnya, mangsa merupakan dua orang wanita berumur masing-masing 40 dan 54 tahun serta seorang lelaki berumur 56 tahun.
“Ekoran dari serangan tersebut, ketiga-tiga mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan dan cakaran.
“Walau bagaimanapun, pihak Polis Kota Kibabalu masih belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kes tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Menurut salah seorang mangsa yang merupakan anak kepada “Datuk Harun” berkata mereka diserang tanpa provokasi terhadap sekawan memerang terlibat.
Jabatan Hidupan Liar Sabah manakala telah melancarkan siasatan berhubung serangan itu.
“Kami menerima aduan pagi ini dan segera menghantar sepasukan dari jabatan bahagian Pantai Barat untuk menyiasat kawasan itu,” katanya melalaui kenyataan.