KOTA KINABALU, SABAH – Polis daerah ini menasihatkan orang ramai untuk meningkatkan kewaspadaan dan langkah berhati-hati dalam keghairahan menyambut cuti persekolahan bermula Sabtu ini (14 Sept).
Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Kasim Muda mengingatkan supaya pagar, pintu dan jendela rumah telah ditutup rapi dan berkunci sebelum meninggalkan rumah.
“Jangan biarkan perkakas seperti tukul, pemutar skru, tangga dan seumpamanya berada di luar kawasan rumah kerana ianya boleh digunakan oleh penjenayah melakukan pecah rumah atau pecah kereta.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meninggalkan barang berharga di dalam rumah atau kenderaan yang ditinggalkan.
“Terapkan semangat kejiranan dengan meninggalkan pesan kepada jiran untuk melihat dan memerhati kawasan rumah semasa ketiadaan di rumah.
“Jika perlu pasang alat keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) atau alat penggera,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Perkara paling penting, menurutnya, ialah mengisi borang balik kampung bagi yang ingin pulang ke kampung agar memudahkan pihak polis membuat pemantauan di kawasan kediaman mereka.