KENINGAU: Seorang petani tempatan berusia 44 tahun ditahan dalam Ops Laras di Kampung Kuala Punteh, Sook, kira-kira jam 10 malam, 4 Mei lalu kerana disyaki memiliki dua laras senjata buatan sendiri (bakakuk), dua senapang angin dan 20 peluru ‘pellet’ tanpa lesen.
Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Alizam Haji Dalaman berkata, suspek lelaki ditahan di rumahnya, dan mengaku bakakuk itu warisan arwah bapanya manakala senapang angin dibeli daripada kenalan di negara jiran untuk tujuan memburu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Keningau untuk permohonan reman, manakala semua senjata dirampas bagi tindakan lanjut termasuk ujian keberfungsian.






