KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan mewartakan Hari Wesak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong sebagai hari kelepasan am bagi tahun 2026, masing-masing pada 31 Mei (Ahad) dan 1 Jun (Isnin).
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam kenyataan memaklumkan bahawa Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong merupakan salah satu daripada lima hari kelepasan am berbayar yang wajib diberikan kepada pekerja sektor swasta di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, selaras dengan Akta Kerja 1955 (Akta 265), dan tidak boleh diganti pada hari lain.
Menurut kenyataan itu, Hari Wesak pula adalah hari kelepasan am berbayar yang boleh dipilih oleh majikan bagi melengkapkan baki enam hari kelepasan am berbayar yang perlu diberikan kepada pekerja.
“Sekiranya hari kelepasan am jatuh pada hari rehat mingguan, maka hari bekerja berikutnya hendaklah dijadikan hari kelepasan am gantian berbayar,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, bagi majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan dan memilih Hari Wesak sebagai cuti berbayar, mereka perlu memberikan 1 Jun 2026 (Isnin) sebagai cuti umum Hari Keputeraan Agong yang tidak boleh diganti, serta 2 Jun 2026 (Selasa) sebagai cuti gantian bagi Hari Wesak.
Bagaimanapun, hari kelepasan gantian itu boleh diganti dengan hari lain tertakluk kepada persetujuan pekerja, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa pekerja yang menerima gaji bulanan RM4,000 dan ke bawah, serta pekerja yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta 265, layak menerima bayaran mengikut kadar yang ditetapkan sekiranya diarahkan bekerja pada hari kelepasan am.
JTKSM menegaskan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan cuti umum adalah penting bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara.






