Penyeludup Beras 1.5 Tan Nekad Terjun Ke Laut

Penyeludup Beras 1.5 Tan Nekad Terjun Ke Laut

0
SHARE
Maritim

LAHAD DATU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu telah berjaya menahan sebuah bot yang membawa beras disyaki cuba diseludup ke negara jiran berhampiran Telukan Sibet, sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bertindak berdasarkan maklumat perisikan yang diterima, bot ronda Zon Maritim Lahad Datu yang ketika itu sedang menjalankan rondaan OP Pluto Timur segera diatur gerak ke lokasi berkenaan pada pukul 1.35 pagi tadi.

“Ketika tiba di kawasan berkenaan, dua buah bot pam berjaya dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa merapati bot terbabit, suspek yang merupakan pengendali bot berkenaan dipercayai bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Nik Mohd Rizam berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemui beras pelbagai jenama seberat lebih kurang 1,520 kilogram disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Bot serta barang rampasan dianggarkan lebih kurang RM24,000 dibawa ke jeti dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya.

“Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana disyaki membawa beras tanpa kebenaran yang sah,” tambahnya.