KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 2,611 graduan Politeknik Kota Kinabalu Ke-25 menerima sijil dan diploma buat julung kalinya yang diadakan secara dalam talian (online) hari ini.
Tenaga kerja masa hadapan itu antara yang telah tamat pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrikal, Kejuruteraan Mekanikal, Perdagangan dan bidang Pelancongan dan Hospitaliti.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Hj Mohd Arifin Hj Mohd Arif dalam ucapan perasmiannya berkata, graduan juga perlu kreatif dalam mencari peluang pekerjaan dan juga ruang menjana ekonomi.

“Saya menyeru para graduan untuk tidak hanya tertumpu kepada aktiviti mencari kerja tetapi berusaha untuk menjadi penghasil kerja…
“Institusi Politeknik dan Kolej Komuniti memainkan peranan utama dan bertanggungjawab menyediakan para graduan untuk mendepani revolusi industri keempat.
“Kejayaan graduan Politeknik di bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi membuktikan mereka telah berjaya mengubah persepsi masyarakat umum bahawa aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menghasilkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat global,” Arifin berkata.
Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Ts. Zainab Othman pula berkata, peratus kelulusan pelajar adalah 99 peratus (99.5%) pada tahun 2020 meningkat daripada tahun sebelumnya.

“Pencapaian akademik yang cemerlang ini telah diterjemahkan menerusi kejayaan-kejayaan Politeknik Kota Kinabalu dalam menyertai pelbagai pertandingan bercirikan keusahawanan yang fokus kepada inovasi, kreatif dan seni rekacipta berasaskan kemajuan dalam bidang sains, teknologi dan maklumat sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” Zainab berkata.
Dalam majlis tersebut, seorang graduan Diploma Akauntansi, Pressy Misty Philip, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah Politeknik Kota Kinabalu.
DUA (2) graduan daripada Jabatan Perdagangan iaitu Dani Johan dan Thaiddi Anuar Hla Myat U telah menerima biasiswa penuh daripada PKT Logistic Group Sdn. Bhd. bagi menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.