KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN yang akan memanfaatkan lebih 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata usaha itu selari dengan Teras ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 bagi memperkasakan organisasi ke arah yang lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan agar penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan berada di tahap terbaik.
Noraini juga optimis bahawa dengan adanya aplikasi yang mengintegrasikan semua kemudahan dalam satu sistem, akses pelanggan kepada PTPTN akan menjadi lebih mudah.
“Malah, aplikasi ini akan membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila (masa) dan di mana-mana sahaja tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat…
“Pelancaran aplikasi ini merupakan manifestasi PTPTN dalam menjayakan agenda pendigitalan negara. Lebih bermakna, momen pada hari ini juga merupakan kemuncak dalam kita meraikan Sambutan Jubli Perak PTPTN pada tahun ini,” katanya berucap pada majlis pelancaran aplikasi itu di sebuah hotel di Damansara dekat sini malam tadi.
Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Noraini berkata kemudahan yang disediakan dalam aplikasi itu antara lain merangkumi semakan penyata pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN, permohonan potongan gaji serta debit terus bagi bayaran balik pinjaman dan Simpan SSPN.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata aplikasi itu merupakan inisiatif utama PTPTN sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN dalam memastikan institusi kewangan itu berada di tahap setanding dengan institusi kewangan lain di pasaran dalam penyediaan kemudahan digital terkini.
Beliau berkata perbincangan dan rujukan dengan pelbagai pihak dilakukan antaranya Kementerian Pengajian Tinggi serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi memperoleh kepakaran dan ilmu berkaitan teknologi serta ciri-ciri keselamatan pengguna yang sentiasa diutamakan.
“Saya juga optimis aplikasi PTPTN ini akan menjadi platform terbaik yang akan mendekatkan generasi muda dengan PTPTN. Ini kerana golongan belia yang cenderung dalam penguasaan teknologi dan sentiasa peka dengan kemudahan digital yang akan memberi manfaat kepada mereka,” katanya.