Buaya Dikesan di Pulau Sapi, Operasi Khas Dilancar, Aktiviti Air Diperketat –...

Buaya Dikesan di Pulau Sapi, Operasi Khas Dilancar, Aktiviti Air Diperketat – Jafry

0
SHARE

KOTA KINABALU: Operasi khas mengesan dan memindahkan seekor buaya yang dilaporkan muncul di perairan Pulau Sapi, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) sedang giat dijalankan, dengan langkah keselamatan serta kawalan aktiviti pelancongan air turut diperketatkan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, operasi itu dilaksanakan Taman-Taman Sabah bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) susulan penampakan buaya di perairan Pantai B, Pulau Sapi pada 5 Oktober lalu.

Beliau berkata, pukat telah dipasang di kawasan dikenal pasti berisiko tinggi dan dipantau secara rapi bagi mengelakkan hidupan marin lain, khususnya penyu, daripada terperangkap.

“Operasi pengesanan turut dijalankan bagi membolehkan tindakan pemindahan dilaksanakan sekiranya buaya berkenaan berjaya dikesan,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.

Jafry berkata, semua pengusaha pelancongan yang menjalankan aktiviti air termasuk selam skuba, snorkeling dan sea walking turut diarahkan membuat pemeriksaan awal di kawasan aktiviti sebelum membenarkan pelancong memasuki air.

Katanya, aktiviti berenang dan snorkeling secara bersendirian juga tidak dibenarkan, sebaliknya perlu dilakukan secara berkumpulan sebagai langkah keselamatan.

“Taman-Taman Sabah turut memasang papan tanda amaran mengenai kehadiran buaya di kawasan berkaitan, manakala hebahan dan peringatan kepada pengunjung diberikan secara berterusan oleh petugas penyelamat.

“Makluman mengenai langkah berjaga-jaga dan prosedur keselamatan juga telah disampaikan kepada semua pemain industri pelancongan yang beroperasi dalam kawasan TTAR,” katanya.

Menurutnya, rondaan bersama JHL serta pemantauan di kawasan lain dalam TTAR turut dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terpelihara.

“Kementerian memandang serius perkara ini. Keselamatan pengunjung adalah keutamaan dan saya telah meminta Taman-Taman Sabah serta Jabatan Hidupan Liar Sabah mengambil segala langkah yang perlu, termasuk meningkatkan pemantauan dan operasi pengesanan di kawasan berkenaan.

“Orang ramai dan pengunjung diminta memberikan kerjasama sepenuhnya serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh petugas,” tegasnya.

Jafry turut meminta pengunjung segera melaporkan sebarang penampakan buaya kepada petugas Taman-Taman Sabah atau pengusaha aktiviti air.

Katanya, situasi akan terus dipantau dengan langkah keselamatan sedia ada dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini, manakala sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kepada orang ramai.