Semua Pihak Perlu Berganding Bahu Gerakkan Momentum Pembangunan Sabah – Azrul

Semua Pihak Perlu Berganding Bahu Gerakkan Momentum Pembangunan Sabah – Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Semua pihak termasuk sektor perniagaan, institusi pendidikan, pemain industri, golongan profesional dan masyarakat perlu berganding bahu dalam menggerakkan momentum pembangunan Sabah bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, momentum pembangunan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kini berada pada landasan positif dengan pelbagai agenda pembangunan sedang dilaksanakan.

Katanya, Sabah mempunyai perancangan dan hala tuju yang jelas untuk mencapai kemajuan, namun kejayaannya memerlukan kerjasama serta komitmen semua pihak.

“Momentum pembangunan negeri mesti digerakkan bersama oleh semua pihak. Sektor perniagaan, institusi pendidikan, ahli akademik, pemain industri, golongan profesional dan masyarakat perlu bergerak seiring untuk memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Antarabangsa Borneo Pertama bagi Perniagaan, Pendidikan, Ekonomi dan Pengurusan (BICBEEM) 2026 di Raia Hotel, di sini, pada Rabu.

Azrul berkata, sektor pendidikan dan ekonomi perlu bergerak seiring dengan institusi pendidikan memainkan peranan melahirkan modal insan berkualiti, manakala sektor perniagaan perlu berani meneroka peluang baharu.

Menurutnya, ekosistem yang menggalakkan inovasi, pelaburan dan keusahawanan juga perlu terus diperkukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan modal insan negeri.

Beliau berkata, Sabah memiliki kelebihan dan potensi besar sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi Borneo, namun memerlukan kesatuan hala tuju, kerjasama erat dan kesungguhan dalam melaksanakan perancangan pembangunan.

“Kita tidak mahu sekadar bercakap mengenai potensi Sabah. Kita mahu potensi itu diterjemahkan menjadi peluang, pelaburan, pekerjaan, ilmu dan kesejahteraan untuk rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Azrul menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam memastikan momentum pembangunan sedia ada dapat diteruskan bagi membawa Sabah ke arah negeri yang lebih maju, berjaya dan sejahtera.