BEAUFORT, SABAH – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan diingatkan untuk sentiasa berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar akan berlaku berikutan amaran hujan yang berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meterologi Malaysia (Met Malaysia).
Nasihat ini diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam yang pada hari ini telah membuat tinjauan di jalan Kampung Keramis yang menghubungkan empat buah kampung iaitu Kg. Suasa, Kg. Kangsa, Kg. Kukup dan Kg. Jabang, yang mana jalan ini menjadi laluan alternatif kepada penduduk kampung sekiranya berlaku banjir.
Didapati jalan Kg. Keramis telah dinaiki air sejak empat hari lalu, namun keadaan banjir masih terkawal dan jalan tersebut masih boleh dilalui kenderaan besar.
“Pelbagai persiapan sudah dibuat malah saya turut mencadangkan kepada pihak konsensi untuk meninggikan jalan ini setinggi satu meter dan sejauh kira-kira 800 meter…
“Sekiranya jalan raya ditinggikan, kenderaan kecil dapat melalui jalan ini ke pekan bagi penduduk kampung membeli keperluan harian sekiranya berlaku banjir.
“Jalan ini juga akan memudahkan pihak keselamatan untuk memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) serta menghantar bantuan makanan.
“Saya berharap penduduk kampung terus peka dan lebih mengambil berat dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” kata Ruslan yang juga Pengerusi Perkara Realty Sdn Bhd.
“Sekiranya kita peka dengan keadaan semasa dapatlah kita membuat persiapan awal sebelum berlakunya banjir,” tambahnya lagi.
Selepas itu, Ruslan berada di Masjid Kampung Padas Damit untuk menyaksikan penyerahan van jenazah kepada pihak pengurusan masjid, kelmarin.

Van jenazah ini dapat memberikan kemudahan kepada penduduk Kampung Padas Damit dan sekitarnya yang memerlukan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penyumbang van jenazah bagi kegunaan masyarakat. Sumbangan mereka bukan sahaja untuk saham akhirat malahan juga merupakan fardu kifayah bagi memudahkan urusan jenazah,” katanya.
Hadir sama bagi menyaksikan penyerahan van jenazah ialah Persuruh Jaya Majlis Dakwah Negara, Hj. Samin Hj. Ongki, Ahli Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bisaya Bersatu Sabah, AJK masjid, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Kampung dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).





