Menteri Dalam Negeri Jepun Letak Jawatan Selepas Dikaitkan Dengan Skandal Pendanaan

Menteri Dalam Negeri Jepun Letak Jawatan Selepas Dikaitkan Dengan Skandal Pendanaan

0
SHARE
Minoru Terada...

TOKYO, JEPUN – Menteri Dalam Negeri Jepun meletak jawatan, semalam, sekali gus menjadi anggota Kabinet yang ketiga meninggalkan pentadbiran Perdana Menteri, Fumio Kishida, dalam tempoh kurang sebulan.

Memetik laporan Reuters, Minoru Terada mengemukakan peletakan jawatannya kepada Kishida selepas media melaporkan pemimpin itu dikatakan sedang bersiap sedia untuk memecat menteri berkenaan. Bagaimanapun, pejabat Kishida tidak dapat dihubungi untuk mengulas laporan terbabit.

Terada yang dikaitkan dengan beberapa skandal pendanaan, dilaporkan mengaku bahawa satu daripada kumpulan sokongannya telah mengemukakan dokumen pembiayaan yang didakwa ditandatangani individu sudah meninggal dunia.

Kishida berkata, beliau menerima peletakan jawatan Terada bagi membolehkan keutamaan ditumpu kepada perbahasan di Parlimen, termasuk perbincangan mengenai bajet tambahan kedua untuk tahun fiskal berakhir Mac.

Beliau turut meminta maaf kerana perkembangan terbaru itu menyaksikan tiga menteri sudah meletak jawatan sejak 24 Oktober lalu.

“Saya memikul tanggungjawab yang berat,” katanya kepada pemberita sambil memaklumkan rancangan beliau untuk menamakan pengganti Terada, semalam.

Stesen penyiaran awam, NHK melaporkan Kishida dijangka mencalonkan bekas Menteri Luar, Takeaki Matsumoto, untuk mengisi jawatan itu.