KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengemukan surat akuan berkanun (SD) untuk dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak hendaklah mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang, hari ini (isnin).
Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka tidak mempunyai masalah dipilih semula sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas mempunyai majoriti yang mencukupi.
Menurut sumber kesemua 29 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kecuali Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Mengulas keengganan Zahid menyokong PN serta amaran menggugurkan keahlian MP UMNO yang menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin berkata, Perlembagaan jelas menyatakan sokongan ahli parlimen terhadap calon perdana menteri bukan daripada parti semata.
“Sokongan boleh secara individu, kumpulan atau parti pun boleh tetapi jika ada ahli parlimen lain hendak menyokong saya, itu hak ahli parlimen itu,” katanya kepada pemberita semalam.
Menurutnya, bersandarkan kepada Perlembagaan negara, seseorang yang hendak menjadi perdana menteri mestilah mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli parlimen, sekurang-kurangnya 112 kerusi.
“Dia tak sebut semestinya datang dari parti A, parti B atau parti C, jadi itu tafsiran dari Zahid Hamidi… itu pandangan dia.