KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengucapkan tahniah kepada Sabah Law Society (SLS) atas keberanian dan ketegasan memperjuangkan hak Sabah dalam isu tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, selepas Mahkamah Tinggi memutuskan kemenangan memihak kepada SLS hari ini.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, keputusan bersejarah itu membuktikan bahawa perjuangan rakyat Sabah selama ini berasaskan kebenaran dan keadilan yang dijamin dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.
“PBS mengucapkan syabas kepada SLS kerana mempertahankan hak rakyat Sabah dengan penuh dedikasi dan keberanian. Keputusan ini bukan sahaja kemenangan undang-undang, tetapi juga kemenangan moral untuk keadilan dan kesaksamaan seperti yang dijanjikan dalam MA63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Joachim turut menegaskan bahawa hak 40 peratus bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya hak perlembagaan yang telah lama diabaikan hampir lima dekad.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan memperbetulkan kealpaan sejarah dan menunaikan tanggungjawab perlembagaan yang tertunggak itu.
PBS turut menyeru Kerajaan Persekutuan supaya segera melaksanakan perintah mahkamah untuk memulakan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 180 hari mengenai jumlah hasil bagi tahun 1974 hingga 2021.
“Keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan. Perintah mahkamah ini mesti dilaksanakan tanpa sebarang alasan atau penangguhan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah di bawah MA63 bukan isu politik kepartian, tetapi tanggungjawab bersama seluruh kepimpinan negeri.
“PBS sejak dahulu lagi konsisten memperjuangkan pemulihan hak-hak Sabah. Keputusan ini adalah langkah besar ke arah mengembalikan keseimbangan hubungan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dr. Joachim turut menyatakan sokongan penuh PBS terhadap SLS dan badan kehakiman yang menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang serta mempertahankan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
“Selepas 48 tahun, sudah tiba masanya kita menghormati perjanjian dan menjunjung Perlembagaan. Keputusan ini wajar menjadi titik permulaan kepada era baharu hubungan yang adil dan ikhlas antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.






