SCENIC Angkat Inovasi dan Ekonomi Sosial Sabah ke Pentas Dunia

SCENIC Angkat Inovasi dan Ekonomi Sosial Sabah ke Pentas Dunia

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah terus menonjol di pentas antarabangsa menerusi komitmen terhadap inovasi, kelestarian dan pemerkasaan komuniti apabila Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) mewakili negeri itu di dua acara global iaitu World Expo Osaka 2025 di Jepun dan Forum Dunia Keusahawanan Sosial (SEWF 2025) di Taipei, Taiwan.

Di World Expo Osaka 2025 yang berlangsung pada 25 hingga 31 Ogos lalu, SCENIC mengetuai delegasi Sabah mempamerkan inovasi berasaskan komuniti, teknologi hijau dan pemeliharaan budaya melalui lima syarikat pemula tempatan termasuk AgriData Portal, Rustic Borneo Craft dan Studio Ace Production.

Pengurus Keusahawanan Didorong Inovasi (IDE) SCENIC, Shazrean Shah Saptu berkata, penyertaan itu berjaya membuka peluang pasaran antarabangsa dan kerjasama baharu termasuk dengan syarikat Jepun, Nikkei Inc. serta Yayasan Keamanan Sasakawa (SPF).

“Kerjasama ini memperkukuh misi SCENIC membawa inovasi Sabah ke peringkat global,” katanya.

Berikutan kejayaan di Osaka, SCENIC memilih 10 perusahaan sosial Sabah untuk mewakili negeri di SEWF 2025 di Taipei dari 27 hingga 31 Oktober ini, termasuk Kokoriu, Bantu Tani, Seadling dan TONIBUNG Create Borneo.

Pengasas Kokoriu, Anjelen Daransun berkata penyertaan mereka memberi peluang menonjolkan pengetahuan asli dan biodiversiti Sabah sebagai asas kepada kelestarian dan keselamatan makanan.

“Kami mahu menghubungkan inovasi pribumi dengan gerakan global yang memperjuangkan keadilan dan daya tahan komuniti,” katanya.

Sementara itu, pengasas Bantu Tani Sdn. Bhd., Shahrizal Denci berkata mereka mahu menunjukkan bagaimana inovasi pertanian kecil boleh memberi impak sosial besar kepada komuniti luar bandar.

“Pertanian bukan sekadar pengeluaran, tetapi pemerkasaan yang mampu mengubah kehidupan keluarga luar bandar,” katanya.

Selepas SEWF 2025, Sabah bakal menjadi tuan rumah kepada Rural Social Enterprise Gathering (RSEG) 2025, dianjurkan bersama SCENIC, KSTI dan SEWF, sebagai platform memperkukuh pembangunan luar bandar inklusif dan mapan.