Potensi Belia Sebenarnya Melebihi AI – Ellron

Potensi Belia Sebenarnya Melebihi AI – Ellron

0
SHARE
Ellron
Ellron menasihatkan para belia melengkapkan diri dengan ilmu bagi menghadapi cabaran masa kini ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Potensi belia perlu dibangunkan kerana bakat mereka sebenarnya melebihi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, para belia perlu bersiap sedia menyediakan diri dengan ilmu, kefahaman dan kemahiran untuk berhadapan dengan cabaran pasca normal dengan perubahan yang semakin cepat serta rancak.

“Belia sebagai modal insan negara dan negeri yang mempunyai kemuliaan insan perlu dikembangkan potensi mereka kerana bakat yang mereka punyai sebenarnya melebihi apa yang ada pada AI (Artificial Intelligence),” katanya semasa berucap di Karnival Belia Sabah 2023, pada Sabtu.

Seramai 5,000 golongan muda memeriahkan program sehari tersebut yang mempunyai tujuh segmen utama khusus untuk menyantuni para belia merangkumi tujuh teras iaitu modal insan dan kesukarelaan, ekonomi, bakat dan kebudayaan.

“Teras lain antaranya kerjaya, kenegaraan dan patriotisme, gaya hidup aktif serta komuniti hobi yang diharapkan dapat menyantuni minat, bakat juga potensi para belia dalam mengekpresikan segala idea, kemahiran dan kepakaran yang ada,” ujarnya.

Aktiviti yang dianjurkan semasa karnival tersebut antaranya pameran pendidikan, Dialog Belia dan Kesihatan Mental, Bicara Ekonomi Belia : Peluang Dana Perniagaan, Explorace Belia Sabah, Peraduan E-Kreatif, E-Sport :TEKKEN & Fifa serta Orang Kuat Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH