Ketua Menteri Maksimum Dua Penggal: GRS Tegaskan Komitmen Reformasi Perlembagaan Negeri

Ketua Menteri Maksimum Dua Penggal: GRS Tegaskan Komitmen Reformasi Perlembagaan Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmen jelas untuk melaksanakan reformasi institusi dan undang-undang dengan meminda Perlembagaan Negeri bagi menghadkan tempoh pentadbiran Ketua Menteri kepada maksimum dua penggal berturut-turut atau tidak melebihi 10 tahun.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ketetapan itu bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya telah pun diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah dan sedia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaik sahaja kerajaan baharu dibentuk hasil mandat rakyat.

Menurutnya, pindaan terbabit memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), justeru kestabilan politik dan mandat kukuh daripada rakyat amat diperlukan bagi memastikan reformasi ini dapat digerakkan tanpa halangan.

“Ini adalah reformasi penting untuk mengelakkan pemusatan kuasa kepada mana-mana individu atau institusi akibat tempoh pemerintahan yang terlalu lama. GRS komited memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus negeri,” katanya.

Armizan turut mengingatkan bahawa rekod kerajaan terdahulu menunjukkan kegagalan untuk melaksanakan pembaharuan seumpamanya.

Katanya, ketika Parti Warisan berkuasa sebentar, bukannya mengehadkan tempoh jawatan tertentu, sebaliknya mereka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri yang menghapuskan had tempoh penggal bagi Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah.

“Warisan membawa Sabah ke belakang, bukannya ke hadapan. Berbeza dengan GRS yang meletakkan reformasi sebagai agenda utama,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Armizan menyeru rakyat agar memilih GRS pada PRU DUN Sabah 2025 bagi memastikan agenda reformasi institusi Kerajaan Negeri dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Selamatkan Sabah daripada Warisan. Pilihlah GRS – Rumah Kita, Kita Jaga,” katanya.