PRU Sabah: GRS–PH Diramal Raih Majoriti Mudah, 42 Kerusi Esok

PRU Sabah: GRS–PH Diramal Raih Majoriti Mudah, 42 Kerusi Esok

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka muncul peneraju utama Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU Sabah) Ke-17 apabila diramal akan memenangi sekurang-kurangnya 33 daripada 55 kerusi yang ditandinginya.

Ramalan tersebut adalah berdasarkan analisis sebuah badan penganalisis bebas selepas hampir dua minggu kempen berlangsung.

Menurut analisis itu, sokongan terhadap calon-calon GRS berada pada tahap yang dianggap “sangat meyakinkan”, khususnya di kerusi kubu kuat gabungan berkenaan seperti Sulaman, Karanaan, Klias, Kuala Penyu, Membakut, Pitas, Kawang, Lumadan, Apas, Kemabong, Nabawan dan Kuamut.

Selain mengekalkan kerusi tradisi, GRS turut dijangka merampas beberapa kerusi milik lawan seperti Pantai Manis, Sungai Manila dan Lamag berikutan faktor pecah undi. 

Di Lamag, kehadiran calon bebas dilihat memecahkan undi antara BN, GRS dan Warisan, sekali gus memberi lonjakan kepada calon GRS, terutama dengan sokongan kuat pengundi muda.

Fenomena yang sama diramal berlaku di Pantai Manis, apabila persaingan tiga penjuru antara BN sebagai penyandang, GRS dan Warisan mencetus kelebihan kepada GRS, berikutan momentum sokongan meningkat mendekati hari pengundian.

Di Sungai Manila, faktor calon seperti Hazem Mubarak Musa, anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, dijangka menjadi pemangkin kemenangan GRS. Momentum keluarga TYT itu turut dilihat membantu kemenangan Datuk Yamani Hafez Musa di Sindumin yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ahli Parlimen Sipitang itu dikatakan memiliki kelebihan ketara, lebih-lebih lagi dengan sokongan terbuka Ketua Bahagian GRS, Datuk Dr Yusof Yacob.

Sindumin antara sembilan kerusi yang dijangka dimenangi PH, selain Merotai, Karamunting, Likas, Luyang, Api-Api, Kapayan, Tanjung Aru dan Elopura.

GRS pula diramal mengetuai kemenangan di banyak kerusi lain termasuk Banggi, Tandek, Tempasuk, Pantai Dalit, Tamparuli, Kiulu, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Kundasang, Paginatan, Bingkor, Liawan, Telupid, Labuk dan Sugut.

Secara keseluruhan, gabungan GRS–PH dijangka memperoleh sekurang-kurangnya 42 kerusi, mengatasi ambang majoriti mudah 37 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Di blok pembangkang, Warisan dijangka terus menguasai beberapa kerusi di Pantai Timur, khususnya di Semporna termasuk Senallang, Sulabayan dan Bugaya, selain Silam, Tungku dan Segama di Lahad Datu.

Parti itu juga diramal menang di Sekong, Sri Tanjong, Sebatik, Balung, Gum-Gum dan Bongawan.

Barisan Nasional (BN) pula berpotensi mengekalkan atau memenangi kerusi di Bengkoka, Usukan, Sungai Sibuga, Sukau, Tanjung Batu dan Sook.

Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dijangka memenangi Matunggong, Tanjung Papat dan Melalap.

Analisis turut meramalkan kemenangan calon bebas di tiga kerusi iaitu Pintasan, Tanjong Kapor dan Petagas.

Ramalan ini menunjukkan landskap politik Sabah berpotensi kembali menyaksikan GRS–PH membentuk kerajaan negeri dengan mandat kukuh pada pengundian esok.