Sabah Hanya Menuntut Hak 40 Peratus, Bukan Anti-Persekutuan – Ewon

Sabah Hanya Menuntut Hak 40 Peratus, Bukan Anti-Persekutuan – Ewon

0
SHARE

KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa Sabah tidak pernah bersikap anti-persekutuan, sebaliknya hanya menuntut hak yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak merupakan rakan penubuh Persekutuan Malaysia, justeru label anti-persekutuan adalah tidak tepat dan menyeleweng daripada fakta sejarah.

“Tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada negara Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Program Jelajah Sabah First di Kadamaian, semalam.

Menurutnya, Persekutuan Malaysia hanya dianggap sempurna sekiranya hak-hak istimewa Sabah dan Sarawak diberikan sepenuhnya sebagaimana dipersetujui dalam MA63 serta Perlembagaan Persekutuan, sama seperti hak-hak negeri lain di Malaysia.

Ewon, penyandang kerusi N.11 Kadamaian, menegaskan bahawa UPKO kekal konsisten memperjuangkan hak 40 peratus hasil Persekutuan yang merupakan syarat utama Sabah menyertai pembentukan Malaysia.

“Hak itu ialah pulangan 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah, dan ia mesti dibayar segera kepada rakyat Sabah.

Kita hanya mahu hak kita dihormati,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa perjuangan ini bukan bersifat konfrontasi, tetapi tuntutan sah bagi mempertahankan maruah rakyat Sabah dan memastikan perjanjian yang dipersetujui 62 tahun lalu akhirnya dilaksanakan sepenuhnya.