Inkues: Zara Qairina Alami Pendarahan Otak Meluas dan Tiada Harapan Pulih –...

Inkues: Zara Qairina Alami Pendarahan Otak Meluas dan Tiada Harapan Pulih – Doktor Neurosurgeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pegawai perubatan Jabatan Neurosurgeri, Hospital Queen Elizabeth (HQE) hari ini mengesahkan bahawa pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, mengalami pendarahan otak meluas dan berada dalam keadaan kritikal tanpa harapan untuk pulih sejak mula dirawat.

Saksi keempat prosiding inkues, Dr. Pavankumar Balachandran, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa ketika Zara dibawa masuk ke Jabatan Kecemasan HQE pada 16 Julai lalu, mangsa sudah tidak sedarkan diri, intubasi dan bergantung kepada mesin pernafasan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati skor Glasgow Coma Scale (GCS) berada pada tahap E1VTM1 ( tahap koma paling teruk) dengan anak mata tetap dan melebar serta tiada tindak balas batang otak.

Menurut beliau, imbasan CT scan menunjukkan pendarahan subarachnoid dan subdural di beberapa bahagian otak, selain tanda awal herniasi otak.

Walaupun terdapat benjolan pada kepala, tiada patah tengkorak dikesan. Zara turut mengalami kecederaan lain termasuk patah pada pergelangan tangan kiri, buku lali kiri dan kanan.

“Selepas penilaian, keluarga telah dimaklumkan mengenai keadaan pesakit yang amat kritikal dengan prognosis sangat buruk kerana ketiadaan refleks batang otak,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, hari ini.

Zara kemudiannya dimasukkan ke Wad Neurosurgeri pada hari yang sama, namun tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 jam 1.07 tengah hari akibat kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hipoksia-iskemia, iaitu kekurangan oksigen pada otak.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perubatan Forensik selepas dimaklumkan kepada pegawai penyiasat.