Kemasukan Pesakit COVID-19 Ke Hospital Meningkat 26.2 Peratus

Kemasukan Pesakit COVID-19 Ke Hospital Meningkat 26.2 Peratus

0
SHARE
KKM
Logo Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

PUTRAJAYA – Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 26.2 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-15 (ME 15/2023) iaitu dari 9 hingga 15 April, berbanding minggu sebelumnya.

Memetik sumber Berita Harian, Kementerian Kesihatan (KKM), berkata majoriti pesakit dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu dengan komorbid.

“Namun peningkatan ini tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa.

“Dari 1 Januari hingga 15 April lalu, kadar kes kematian (CFR) COVID-19 dilaporkan 0.3 peratus berbanding gelombang Delta dengan CFR yang tinggi iaitu 2.1 peratus.

“Sebanyak 80.7 peratus membabitkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas, manakala 82.6 peratus adalah dalam kalangan individu dengan komorbid,” katanya.

Selain itu, KKM berkata, kematian pesakit yang tidak pernah divaksinasi adalah enam kali lebih tinggi berbanding pesakit yang mendapat satu dos penggalak.

“Berdasarkan data 2023, sehingga 17 April, hanya 50 peratus (16,327,196) penduduk Malaysia menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus (819,150) saja menerima dos penggalak kedua.

“Risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak.

“Justeru, orang ramai terutama individu berisiko tinggi disaran mendapatkan dos penggalak disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh tiga hingga enam bulan daripada dos terakhir,” katanya.

Selain itu, KKM menasihatkan rakyat yang menyambut Syawal tidak lama lagi berwaspada terhadap jangkitan COVID-19 dan usaha mengawal penularannya sentiasa diteruskan walaupun negara berada pada Fasa Peralihan pandemik.

“Justeru, setiap individu dan masyarakat perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“KKM juga menasihatkan orang ramai mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan pulang beraya ke kampung bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.