TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sini menahan sebuah bot penumpang membawa lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kedudukan dua batu nautika barat daya Tanjung Batu di sini sekitar jam 11.45 malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, tangkapan ini berikutan hasil maklumat risikan mengenai terdapatnya bot penumpang tempatan yang menjalankan aktiviti membawa masuk PATI secara haram melalui perairan Tawau.
“Pemantauan melalui Ops Cegah PATI Selatan COVID-19 oleh bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot penumpang berpendaftaran tempatan itu bergerak dari arah sempadan perairan Indonesia – Malaysia menuju ke perairan Tawau dalam situasi mencurigakan…
“Berikutan itu bot ronda Maritim menuju ke arah bot tersebut untuk melakukan pintasan dan juragan bot telah bertindak agresif dengan memecut laju hingga hilang kawalan dan terbalik,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Juragan serta lima penumpang di dalam bot tersebut berjaya diselamatkan dan diberkas.
Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati juragan bot, lelaki warga tempatan berusia 17 tahun manakala lima penumpang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita merupakan warga Indonesia berumur diantara 15 hingga 58 tahun…
“Kesemua penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan memberi alasan insiden bot terbalik menyebabkan kesemua dokumen jatuh ke laut,” tambah Siva.
Juragan serta kesemua penumpang telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan laut yang tidak diwartakan.
Sementara itu, hasil ujian saringan pengesanan awal (RTK) ke atas kesemua tahanan mendapati TIGA (3) daripada PATI tersebut positif COVID-19 dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak KKM akan membuat siasatan dan akan memanggil semua kontak rapat dalam kes ini untuk ujian pengesanan COVID-19…
“Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dengan cubaan membawa masuk warga asing ke negara ini,” katanya lagi.