BEAUFORT, SABAH – Sejak pagi tadi penduduk di sekitar Labuan, Beaufort, Menumbok, Kuala Penyu dan Sipitang gempar selepas mendakwa mereka telah terdengar satu bunyi letupan dan gegaran yang cukup kuat.
Menurut penduduk di sekitar itu, bunyi letupan kuat seperti guruh yang turut disusuli gegaran itu dapat dirasai selama lima hingga ke enam saat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, DSP Mohd Ibrahim Bin Mohd Ghani dalam satu kenyataan hari ini berkata satu laporan polis telah dibuat oleh orang awam susulan kejadian tersebut.

“Pada 31/01/2021 jam 11.10 pagi, Bilik Gerakan IPD Labuan telah terima Panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan telah terdengar bunyi letupan yang kuat dan disusuli dengan gegaran yang baharu sahaja berlaku.”
“Bilik Gerakan IPD Labuan telah menghubungi semua Lokasi Sasaran Penting Di W.P Labuan, namun tiada apa-apa insiden dilaporkan berlaku. Elemen-elemen aktif PDRM IPD Labuan juga telah digerakkan untuk membuat pemantauan di sekitar W.P Labuan dan juga kapal-kapal laut di sekitar perairan W.P Labuan namun tiada apa-apa kesan letupan yang ditemui. Bilik Gerakan IPD Labuan turut menghubungi Bilik Gerakan IPD Sipitang, IPD Beaufort dan IPD Lawas namun tiada maklumat berkaitan dengan letupan dan gegaran tersebut.”
Menurut kenyataan itu, beliau turut berkata bahawa Jabatan Meteorologi Wilayah Persekutuan Labuan juga telah dihubungi dan mengesahkan bahawa tiada apa-apa amaran bencana alam dimaklumkan atau kejadian yang berlaku akibat daripada keadaan tersebut.