TAWAU, SABAH – Dua pemilik restoran didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini atas pertuduhan mengambil pekerja imigran haram dan membenarkan serta melindungi mereka (imigran haram) dengan tinggal di premis perniagaan tersebut.
Goh You Chai, 61, dan Chin Kwang Vui, 49, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-kedua tertuduh secara bersama didapati telah membenarkan Jessica Samuel, 21, Margareta Sanoa, 36, (warga Indonesia) dan Felixander Subida, 30 tahun, (warga Filipina) untuk masuk dan tinggal di premis milik mereka di Weijiabao Noodle House, Kubota Central, dekat sini, jam 11.40 pagi pada 17 Ogos 2019.
Bagi kesalahan itu, mereka masing-masing berdepan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran haram ditemui di premis, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau, Pilin Kendry memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam.
Bagaimanapun, kedua-kedua tertuduh yang juga rakan kongsi dan tidak diwakili peguam itu merayu agar diringankan hukuman.
Awang Kerisnada kemudiannya memerintahkan kedua-dua tertuduh didenda RM45,000 setiap seorang atau berdepan hukuman penjara sembilan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.