Kes Gaduh di Machang: Suspek Syak Penjawat Awam Ada Hubungan Sulit Dengan...

Kes Gaduh di Machang: Suspek Syak Penjawat Awam Ada Hubungan Sulit Dengan Isteri

0
SHARE

MACHANG, KELANTAN – Seorang penjawat awam maut dalam satu kes pergaduhan di Kampung Cabang Sungai Hala, di sini, semalam selepas suspek mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, ketika mengulas perkembangan kes terbabit.

“Motif kejadian adalah suspek mengesyaki mangsa yang juga simati ada hubungan sulit dengan isterinya…

“Suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, manakala mangsa yang juga penjawat awam bekerja di sebuah jabatan sama dengan isteri suspek di Kuala Krai,” katanya menerusi kenyataan yang dipetik Berita Harian.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi di sebuah kedai makan di hadapan Hospital Machang, dua lelaki berusia 46 dan 51 tahun dilapor bergaduh dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah pada muka.

Muhamad Zaki berkata, mangsa, 51, cedera parah pada kedua-dua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri, manakala suspek cedera pada kedua-dua belah tangan.

“Pergaduhan berlaku tanpa membabitkan sebarang senjata, namun mangsa dibawa ke Hospital Machang oleh ambulans untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, setakat ini suspek kes itu sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Machang esok untuk perintah tahanan reman,” katanya.