Amir Masdi Perkenal Sisi Berbeza Dengan Single Inggeris ‘Take Me Home’

Amir Masdi Perkenal Sisi Berbeza Dengan Single Inggeris ‘Take Me Home’

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat besar, Amir Masdi, kembali mencuri perhatian peminat dengan kelainan terbaharu menerusi single Inggeris berjudul Take Me Home, yang menonjolkan sisi versatil dirinya dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa.

Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Amir sendiri bersama Edry Abdul Halim, dan menjadi antara nadi utama album keduanya AM:PM, yang memperlihatkan pelbagai eksperimen muzik segar dan berani.

Amir mendedahkan idea asal Take Me Home tercetus ketika beliau berada di Manchester, England, dipengaruhi oleh muzik western rock, pop rock dan ballad rock cinta era 90-an hingga awal 2000-an.

“Ketika menulis lagu ini, saya jauh dari tanah air, jadi secara semula jadi perasaan rindu dan ingin pulang itu terzahir dalam penulisan,” katanya.

Bagaimanapun, Amir menjelaskan bahawa maksud ‘home’ dalam lagu ini lebih luas daripada sekadar rumah fizikal — ia merangkumi perasaan, insan tersayang dan tempat di mana hati merasa selamat.

Berbeza daripada karya terdahulu yang banyak berkisar tentang kisah cinta tertentu, Take Me Home tampil lebih ‘straightforward’ dan mudah dihadam, bermula dengan bahagian korus sebelum berkembang menjadi lirik penuh yang menyentuh perasaan ramai.

“Saya tak mahu hanya menulis untuk diri sendiri. Saya mahu pendengar dapat kaitkan lagu ini dengan kehidupan mereka,” jelasnya.

Amir meletakkan harapan besar agar lagu ini membuka ruang baharu untuknya menembusi pasaran antarabangsa, selain memperlihatkan kemampuannya menyanyikan lagu Inggeris dengan penuh jiwa.

“Kalau ada rezeki, saya mahu bawa lagu ini ke luar negara bersama nama Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir baru-baru ini telah mewakili Malaysia di program National Day Spirit to Expo 2025 Osaka, Jepun sebuah pentas global yang menghimpunkan pelbagai negara untuk berkongsi inovasi, budaya dan seni.

“Saya amat berbesar hati diberi kepercayaan membawa semangat Malaysia ke mata dunia. Saya mahu penonton Osaka merasai keindahan budaya kita dan semangat perpaduan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Acara itu turut menampilkan pameran seni budaya, demonstrasi masakan, serta segmen interaktif memperkenalkan identiti Malaysia kepada dunia.