KENINGAU, SABAH – Penglibatan masyarakat dalam Komuniti Madani mampu mewujudkan kestabilan dan kepesatan pembangunan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin berkata, masyarakat dalam komuniti akan menguatkan lagi perpaduan yang pastinya mewujudkan kestabilan dan merancakkan pembangunan.
“Saya dimaklumkan keahlian Komuniti Madani Kampung Biah ini bukan sahaja terdiri dari penduduk Kampung Biah tetapi turut melibatkan beberapa kampung dalam Mukim Ansip.
“Ini suatu yang amat baik kerana penglibatan lebih ramai masyarakat akan menguatkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Hal ini amat perlu kepada sesebuah negara kerana dengan wujudnya kerjasama dan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat dalam komuniti, sudah pasti kestabilan negara akan wujud dan pembangunan dapat dijalankan dengan lebih pesat lagi dan bagi kami di peringkat kepimpinan negeri.
“Inilah yang kami harapkan, kefahaman, kerjasama dan perpaduan rakyat supaya kita dapat bergerak bersama-sama membangunkan negeri Sabah yang kita sayangi ini.
“Saya juga dimaklumkan semua perancangan aktiviti dibuat oleh Jawatankuasa Komuniti Madani sendiri dengan pemantauan dan penyelarasan oleh Jabatan Penerangan dan ini merupakan satu kaedah yang baik kerana memberikan peluang kepada rakyat melahirkan idea dan kemahiran dalam merancang program yang memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Program JIWA Komuniti Madani di Kampung, Biah, pada Sabtu.
Beliau juga menyeru rakyat Sabah untuk bersama-sama meraikan Hari Sabah yang buat julung kalinya akan disambut pada 31 Ogos nanti.
“Kerajaan negeri Sabah telah mengiktiraf dan mewartakan Hari Sabah yang akan kita sambut pada 31 Ogos nanti, ini adalah kali pertama kita meraikan hari Sabah.
“Marilah kita bersama-sama meraikan dan menghormati Hari Sabah ini supaya kita dapat bersaing dan menjadikan hari tersebut hari yang bersejarah bagi Sabah dan mudah-mudahan dengan pengiktirafan ini kita dapat bersama-sama terus membangunkan negeri Sabah,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Caroline Benjamin Jiungan, Pegawai UPPM Tulid, Casmir Silip dan Penolong Pegawai Daerah Keningau, Inchek Anan. — JABATAN PENERANGAN SABAH






