BELURAN, SABAH – Mayat seorang warga emas yang hilang selepas keluar mencari pucuk nipah di muara Kampung Air ditemui pada hari yang sama, semalam.
Mangsa, Damat Anggah, 80, dikatakan keluar pada jam sembilan pagi ke lokasi kira-kira 1.5 km dari jeti Kampung Air pada Ahad.
Walau bagaimanapun, penduduk setempat yang lalu di kawasan mangsa berada melaporkan kepada pihak keluarganya bahawa mangsa tidak berada di atas perahu.
Pada jam tiga petang, anak mangsa pergi membuat pemantauan bersama seorang kawan dan mendapati mangsa sudah hilang.
Hanya topi milik mangsa ditemui berhampiran perahu tersebut.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, pencarian dilakukan oleh 6 orang penduduk kampung sebelum panggilan kecemasan 999 dibuat pada jam 5.51 petang.
“Mangsa ditemui pada jam 11.45 malam lebih kurang 10 meter daripada perahu oleh pasukan Maritim Malaysia dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai polis.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada jam satu pagi,” kata seorang jurucakap agensi dalam kenyataan.