DAP Sabah Hormati Keputusan Frankie Poon Tinggalkan Parti – Phoong Jin Zhe

DAP Sabah Hormati Keputusan Frankie Poon Tinggalkan Parti – Phoong Jin Zhe

0
SHARE

KOTA KINABALU: DAP Sabah menghormati keputusan bekas Pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung, bersama Liau Fui Fui dan cawangan masing-masing untuk meninggalkan parti itu.

Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, dalam kenyataan rasmi hari ini, menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa serta sumbangan kedua-dua bekas pemimpin itu terhadap perjuangan parti dan rakyat Sabah selama ini.

“Kami berterima kasih atas khidmat dan dedikasi mereka selama bertahun-tahun dalam memperjuangkan kepentingan rakyat. DAP Sabah mendoakan kejayaan mereka dalam apa jua usaha selepas ini,” katanya.

Menurut beliau, keputusan tersebut tidak akan menjejaskan komitmen DAP Sabah untuk terus memberi tumpuan terhadap khidmat rakyat, khususnya di Sandakan, yang kekal sebagai kubu penting bagi parti itu.

Phoong turut memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dengan Setiausaha DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, YB Vivian Wong Shir Yee, berhubung langkah memperkukuh struktur parti di kawasan berkenaan.

“Saya yakin dengan kepimpinan YB Vivian Wong dalam memperkukuh jentera parti di Sandakan serta memastikan DAP terus menawarkan idea dan perkhidmatan berorientasikan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau menegaskan, barisan kepimpinan baharu DAP Sabah akan terus bekerja dengan kejujuran, kerendahan hati dan dedikasi untuk membawa perubahan positif kepada rakyat.

“Kami akan meneruskan perjuangan demi Sabah yang lebih baik, Sabah yang bersatu, berdaya tahan dan penuh harapan,” tambahnya.