LONDON – Perdana Menteri, Boris Johnson menggantung perkhidmatan seorang ahli Parlimen British susulan dakwaan beliau menonton pornografi menerusi telefonnya dalam Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen tersebut iaitu Neil Parish mendakwa beliau membuka kandungan lucah berkenaan secara tidak sengaja dan telah menyebabkannya digantung oleh parti Konservatif pada Jumaat baru-baru ini selepas melaporkan diri kepada Suruhanjaya Standard Parlimen.
Beliau bagaimanapun menegaskan akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sepanjang siasatan berjalan.
Memetik laporan Reuters, ketika ditanya wartawan sama ada beliau membuka kandungan itu secara tidak sengaja, Parish mengakui perkara itu, namun mahu membiarkan siasatan meneliti alasan berkenaan.
Media British melaporkan seorang menteri wanita mengakui melihat seorang rakan lelakinya menonton kandungan pornografi ketika berada di sebelahnya dalam Dewan Rakyat, dan Ahli Parlimen itu menonton pornografi ketika prosiding satu jawatankuasa.
Dalam temu bual bersama akhbar The Times yang diterbitkan hari ini, isteri Parish dilaporkan tidak menyedari suaminya pernah melakukan perkara itu sebelum ini, dan menegaskan suaminya adalah seorang yang baik.
Sue Parish menyifatkan perkara itu amat memalukan dan mengakui mana-mana pihak tidak sepatutnya menonton pornografi, selain berpandangan suaminya tidak akan secara sengaja menonton kandungan itu sambil orang lain memerhatikannya.
“Wanita itu sememangnya wajar untuk rasa terganggu. Saya juga rasa terganggu,” katanya.





