KOTA KINABALU, SABAH – Kedudukan kerusi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang cuba menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah dipindahkan kepada blok pembangkang.
Mereka yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin kini duduk sebaris dengan ahli-ahli Parti WARISAN termasuk presidennya,Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Namun DUN serba kosong dalam persidangan khas hari ini bagi membincangkan enakmen penyerahan kuasa kawal selia gas kepada kerajaan negeri Sabah dan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah.
Sebahagian besar wakil BN Sabah dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) menghadiri persidangan bagi meluluskan Rang Undang-undang (RUU) itu.
Bung dalam satu kenyataan berkata ia kerana sebahagian besar mereka menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) manakala Shafie mahukan penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak berkata untuk menyokong usul yang dibentangkan pada masa sama akan diluluskan sama sekali dengan majoriti mudah yang hadir.
Kedudukan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sabah yang setia bersama Hajiji kekal dalam blok kerajaan.
Dalam pada itu, ADUN Tanjong Papat, Datuk Poon Ming Fung menzahirkan kekecewaan terhadap ketidakhadiran bagi menyaksikan kelulusan RUU tersebut.
“Ianya merupakan satu langkah penting mengenai realisasi kawalan ke atas penggunaan sumber kita.
“Malangnya tiada ADUN WARISAN atau UMNO tertentu yang hadir untuk menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah ini,” katanya.