KOTA BELUD, SABAH – Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) menafikan penularan berita tular di media sosial baru-baru ini berhubung pihak polis yang mengenakan kompaun sebanyak RM2,000 kepada sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak selepas melanggar SOP (Standard Operation Procedure).
Musli Oli dalam satu tulisan yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook miliknya menyatakan pada dua hari lepas, sepasang suami isteri dan seorang anak kecil dari kampung yang jauh dari pekan telah tiba ke Pekan Kota Belud untuk membeli barang keperluan dan kemudiannya telah disaman oleh pihak Polis kerana telah melanggar SOP.
Musli turut menulis; “Apakah kerajaan berpuas hati dan gembira menerima duit dari rakyat miskin yang sedang menderita?, apakah suami dan isteri itu akan terus menyokong parti pemerintah bila tiba masanya giliran (Pilihan Raya) dia pula memilih dan menggunakan budi bicaranya.”
Tulisan yang telah dimuat naik oleh Musli kemudiannya telah tular malahan pihak Polis turut dicemuh oleh sebahagian netizen akibat daripada kenyataan ini.
Polis dalam satu kenyataan media rasmi menyatakan berita yang tular tersebut sebagai TIDAK BENAR.
Menurut pihak Polis, hasil semakan yang telah dibuat oleh IPD Kota Belud menyatakan tidak ada saman yang dikeluarkan ke atas pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak seperti yang ditularkan.
“Berita ini adalah satu bentuk provokasi kepada pihak Pasukan Keselamatan.”
Justeru, pihak PDRM Kontinjen Sabah menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP bagi melandaikan jangkitan COVID-19 serta akan mengambil tindakan tegas dan tanpa kompromi bagi mana-mana individu yang melanggar SOP PKP kali ini.
Untuk rekod, individu yang menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.