Permohonan BERSATU Ditolak, Empat Bekas Ahli Dari Sabah Kekal Ahli Parlimen

Permohonan BERSATU Ditolak, Empat Bekas Ahli Dari Sabah Kekal Ahli Parlimen

0
SHARE
Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang)...

KUALA LUMPUR – Permohonan semakan semula Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkenaan empat Ahli Parlimen di Sabah yang mengumumkan keluar parti itu telah ditolak Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh, berkata tiada perintah terhadap kos atas penolakan permohonan itu kerana pihaknya terikat dengan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa untuk menyoal keputusan Speaker Dewan Rakyat atas kekosongan empat kerusi berkenaan mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, BERSATU memohon supaya Johari mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen yang disandang Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Mereka telah memilih bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu, pada 17 April lalu.

Pada 29 Ogos lalu, Peguam Kanan Persekutuan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Ahmad Hanir Hambaly berkata permohonan BERSATU perlu ditolak kerana tidak tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.