TAWAU, SABAH – Seorang lelaki 58 tahun disahkan meninggal dunia selepas hilang kawalan kenderaan dipandunya lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Luansoang, sini, malam semalam.
Mengikut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba, seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tawau bertindak balas kepada panggilan 7.08 malam itu.
“Jarak balai ke lokasi tempat kejadian kira-kira 120 kilometer dan pasukan penyelamat tiba pada pukul 8.12 malam.
“Mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota dan berjaya dikeluarkan.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai polis dan diserahkan kepada mereka untuk tindakan lanjut,” kata seorang jurucakap agensi.