Kelangsungan Hidup Penyu Di Perairan Sabah Memberangsangkan – Jaffry

Kelangsungan Hidup Penyu Di Perairan Sabah Memberangsangkan – Jaffry

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Kelangsungan hidup penyu di perairan Sabah khususnya di Taman Pulau-Pulau Penyu Sandakan menunjukkan peningkatan jumlah pendaratan yang memberangsangkan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Jaffry Ariffin berkata, sehingga September 2021 ini sahaja, sejumlah 14, 802 sarang penyu telah direkodkan.

Jumlah tersebut dijangka bakal mengatasi rekod persarangan tertinggi selama ini iaitu pada tahun 2020 sebanyak 15,890.

Data menunjukkan sejumlah 1,164, 794 biji telur telah dikutip, dan telah menetaskan sebanyak 508, 842 ekor anak penyu yang telah pun dilepaskan ke lautan.

Ini menjadikan secara keseluruhannya sudah hampir 21 juta anak-anak penyu telah dilepaskan semula ke lautan di sekitar Taman Pulau-Pulau Penyu Sabah sejak tahun 1977.

“Namun secara teorinya, dari 21 juta anak penyu yang dilepaskan itu, hanya 21 ribu ekor sahaja yang akan berjaya menjadi penyu dewasa…

“Data penyelidikan menunjukkan bahawa nisbah dari 1,000 ekor anak penyu yang dilepaskan, hanya 1 ekor sahaja akan berjaya menjadi penyu dewasa,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Pewartaan Taman Pulau-Pulau Penyu Kali Ke-44 pagi tadi.

Katanya, Faktor penyumbang kepada kepupusan penyu adalah hakisan pantai yang disebabkan oleh perubahan iklim sekaligus telah menghadkan kawasan persarangan penyu.

Faktor-faktor lain yang secara langung menyebabkan kematian penyu seperti termakan sampah plastik terapung yang disangka makanan iaitu obor-obor malahan terdapat penyu yang mati disebabkan tersangkut dalam pukat nelayan.

“Kelakuan segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab, memburu, membunuh serta mejual daging, organ dan karapasnya amatlah menyedihkan…

“Namun antara semua, faktor yang paling utama adalah disebabkan oleh kehilangan habitat semulajadi spesies ini.

“Bayangkan kita manusia, kehilangan rumah dan kehilangan sumber makanan, pasti juga kita akan lenyap dari muka bumi ini, sinonim dengan spesies penyu, kehilangan habitat aslinya akan sekaligus melenyapkan spesies ini selama-lamanya,” tegas beliau.

Datuk Jafry Ariffin…

Menurutnya, terdapat tujuh (7) spesies penyu di dunia yang boleh dijumpai di perairan dengan populasi batu karang dan rumput laut.

Namun hanya dua sahaja spesies penyu yang kebiasaannya boleh dijumpai di perairan Sabah iaitu Penyu Hijau dan Penyu Sisik.

“Penyu betina sahaja akan kembali semula ke pantai di mana ianya mendarat di pantai untuk bertelur demi kelangsungan generasi spesiesnya…

“Disebabkan itulah habitat di mana penyu ini bertelur perlu dikenalpasti dan seterusnya dilindungi, di sinilah usaha pemuliharaan perlu diperkasakan dan difokuskan.

“Antara lautan yang menjadi tumpuan penyu adalah di negeri Sabah adalah Lautan Sulu yang terletak di bahagain Pantai Timur Sabah dari Kudat hinggalah ke Lahad Datu.

“Kawasan ini juga termasuk ke dalam kawasan Segitiga Terumbu Karang atau ‘Coral Triangle Area’ yang sangat penting dalam menyediakan habitat penyu laut,” jelas Jafry.

Beliau berkata Taman Pulau-Pulau Penyu juga merupakan kawasan yang telah disenaraikan di dalam kawasan ‘Turtle Island Heritage Protected Area’ (TIHPA).

Kerjasama itu melibatkan usaha pemuliharaan habitat dan kawasan pendaratan penyu di sembilan (9) buah pulau, dan tiga (3) buah pulau terletak di Malaysia iaitu di Taman Pulau-Pulau Penyu.

“Taman-Taman Sabah telah berjaya memberi alternatif dalam penyampaian produk pelancongan yang menarik melalui program Sarang-Angkat Penyu atau “Turtle Nest-Adoption Program” di Taman Pulau-Pulau Penyu…

”Program sebegini dapat membuka peluang secara langsung kepada pelancong dan orang awam untuk menyumbang dan terlibat secara peribadi sesuatu bakti dalam usaha konservasi penyu,” katanya.

Jafry yang juga telah menganak-angkatkan seekor penyu menjelaskan bahawa sejak tahun 2016 sehingga kini, sejumlah 1,688 sarang telah anak-angkatkan dengan jumlah kutipan sebanyak RM 168,800.

”Kesemua wang sumbangan itu telah digunakan khusus untuk penyelenggaraan nurseri penyu di Taman Pulau-Pulau Penyu…

“Terdapat banyak lagi cara untuk menyampaikan sokongan kita secara individu atau berkumpulan, antaranya adalah elakkan diri kita dari membeli atau memakan telur penyu dan jangan sesekali terlibat di dalam pemburuan penyu.

“Bantulah pihak penguatkuasaan dengan melapor kejadian-kejadian seumpama ini untuk tindakan penyelamatan.

“Sebagai rakyat Sabah yang prihatin marilah kita bersama-sama berganding bahu menjayakan inisiatif konservasi penyu,” tegasnya lagi.

Harapan beliau adalah melalui Taman-Taman Sabah, usaha konservasi spesies penyu agar ianya akan terus berkekalan untuk 1,000 tahun dan dapat dinikmati oleh anak-cucu kita.

“Saya juga menyeru agar agensi kerajaan yang lain serta badan-badan bukan kerajaan atau NGO agar turut serta dalam usaha konservasi penyu dalam pelbagai bentuk sumbangan dan penglibatan agar khazanah ikonik ini dapat berkekalan selamanya,” katanya.