300 ahli Warisan serah borang untuk bersama GRS

300 ahli Warisan serah borang untuk bersama GRS

0
SHARE

SEPANGGAR: Seramai 300 ahli Warisan di DU Darau menghantar borang permohonan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Borang mereka diserahkan oleh bekas ahli jawatankuasa Warisan Sepanggar, Sabar Dasad, kepada Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Razali Razi pada majlis di Jalan Kalansanan, malam tadi.

Serahan disaksikan Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Balung, Ismail Sabran, yang juga bekas timbalan ketua Pemuda Warisan Sabah; dan Timbalan Pengerusi Parti Liberal Demokratik Sabah, Yong Vui Chung.

Sabar berkata keputusan menyertai Gagasan Rakyat ini atas kesedaran dan keperluan mendesak pengundi memilih GRS, dan menikmati kemudahan seperti dirasai pengundi di kawasan parti kerajaan.

“Bukan senang untuk membuat keputusan, tapi di atas kesedaran bahawa perubahan perlu dilakukan dan hilang keyakinan kepada kepimpinan yang ada iaitu Warisan di Sepanggar ini, maka kita buat keputusan untuk bersama GRS,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Datuk Razali Razi

Sementara itu, Razali tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai ahli parti lain akan menyertai GRS selepas mengambil kira ‘mood’ pengundi yang mahukan kestabilan bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Kita tak boleh umum sekarang tapi akan ada lagi,” katanya.

Razali yang lebih dikenali sebagai Bob dalam kalangan penduduk bertanding di DU Darau.

Pada PRN 2020, DUN Darau dimenangi calon Warisan, Azhar Matussin, dengan majoriti 562 undi. Azhar dalam misi mempertahankan kerusi itu pada PRN17.

Sejumlah 596 calon bertanding dalam PRN Sabah ke-17 dengan pengundi berdaftar seramai 1,784,843 orang.

Pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.