SANDAKAN: Seorang lelaki meninggal dunia selepas terjun dari tingkat empat sebuah rumah pangsa di Flat Sim-Sim, Blok B, Jalan Buli Sim-Sim di sini petang tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 petang melalui talian NG999 yang memaklumkan mengenai kejadian cubaan bunuh diri tersebut.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan yang diketuai PBK I Chauslim Sunsubin bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 2.38 petang, kira-kira 5 kilometer dari balai.
Setibanya di tempat kejadian, mangsa didapati sudah terjun dari tingkat empat ruang tangga bangunan.
Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan proses siasatan.
Operasi ditamatkan pada jam 3.21 petang selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat dan tiada lagi ancaman lain.
Sebanyak tujuh anggota BBP Sandakan terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan pasukan PDRM seramai 15 anggota dan KKM seramai tiga anggota. Turut digunakan dalam operasi ialah jentera FRT dan unit EMRS.
Identiti mangsa belum dikenal pasti dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak polis.






